Saiz artikel
Sisa bahan binaan terbiar

10 April 2012
 

KUALA KRAI - Kontraktor dan agensi kerajaan berkenaan, digesa menyelesaikan segera masalah sisa bahan binaan terbiar di sebuah sekolah kebangsaan di Guchil, dekat sini, sejak lebih empat bulan lalu.


Bapa seorang murid enggan dikenali berkata, selain mencemarkan persekitaran, sisa binaan yang ditinggalkan walaupun projek itu sudah lama siap seperti lebihan longkang besar turut membahayakan murid sekolah berkenaan.

Katanya, saluran longkang di luar pagar bangunan baru sekolah itu juga kini tertimbus, dengan tanah dan sisa bahan binaan yang diguna bagi menyiapkan projek berkenaan.

“Lebihan longkang tidak sepatutnya ditinggalkan di kawasan ini, kerana sekarang ia menjadi tempat budak-budak bermain semasa balik sekolah, jadi boleh datangkan bahaya.

“Apa salahnya jika ambil semula lebihan longkang dan bersihkan longkang tersumbat, kerana bangunan baru sudah lama siap, malah sudah digunakan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu disedarinya sejak hujung tahun lalu dan mengadu masalah tersebut kepada agensi berkenaan dua minggu lalu namun, masih tidak ada sebarang tindakan­ diambil.

"Saya kecewa atas sikap agensi kerajaan berkenaan yang masih belum bertindak terhadap aduan dibuat, biarpun masalah membabitkan keselamatan murid sekolah ini.

“Mungkin agensi kerajaan terbabit tidak pandang serius masalah ini tetapi kami risau dengan keselamatan anak-anak," kataanya.

Sumber Sinar Harian Online